Bahagian Pertama: Ada surah-surah dalam  al-Quran dibuka dengan ayat pujian ke atas Allah. Terbahagi pula kepada  dua bahagian. Iaitu dengan isbat pujian ke atas sifat Allah dan kedua  dengan tanzih (mensucikan) sifat Allah dari segala kekurangan.
  Pembuka surah dimulai ayat berupa isbat pujian ke atas sifat Allah ada dua iaitu dengan Alhamdulillah dan Tabaraka. 
 
  (a) Dibuka dengan Alhamdulillah (الحمد لله) yang bermaksud “Segala puji bagi Allah”. Ada 5 surah iaitu:
 
  1. Surah al-Fatihah [سورة الفاتحة]:
 
  الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (٢)
 
  Ertinya: Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.
 
  2. Surah al-An’am [سورة الأنعام]:
 
  الْحَمْدُ  لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ  وَالنُّورَ ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ (١)
 
  Ertinya: Segala puji tertentu bagi Allah  yang menciptakan langit dan bumi dan menjadikan gelap dan terang; dalam  pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan  mereka.
 
  3. Surah al-Kahfi [سورة الكهف]:
 
  الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجَا (١)
 
  Ertinya: Segala puji tertentu bagi Allah  yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran  dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).
 
  4. Surah Saba’ [سورة سباء]:
 
  الْحَمْدُ  لِلَّهِ الَّذِي لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ وَلَهُ  الْحَمْدُ فِي الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ (١)
 
  Ertinya: Segala puji tertentu bagi Allah  Yang Memiliki dan Menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di  bumi dan bagiNyalah juga segala puji di akhirat; dan Dialah sahaja Yang  Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
 
  5. Surah Fatir [سورة فاطر]:
 
  الْحَمْدُ  لِلَّهِ فَاطِرِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ جَاعِلِ الْمَلائِكَةِ رُسُلا  أُولِي أَجْنِحَةٍ مَثْنَى وَثُلاثَ وَرُبَاعَ يَزِيدُ فِي الْخَلْقِ مَا  يَشَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (١)
 
  Ertinya: Segala puji tertentu bagi Allah  yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan  yang bersayap: Dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian  makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya  Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
 
  (b) Dibuka dengan Tabaraka (تبارك) yang bermaksud “Maha Suci Allah, Maha Tinggi”. Ada 2 surah iaitu:
 
  1. Surah al-Furqan [سورة الفرقان]:
 
  تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَى عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا (١)
 
  Ertinya: Maha berkat Tuhan yang menurunkan  Al-Furqan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan  amaran bagi seluruh penduduk alam.
 
  2. Surah al-Mulk [سورة الملك]:
 
  تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (١)
 
  Ertinya: Maha Berkat (serta Maha Tinggilah  kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan  memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
 
  Semuanya berjumlah 7 surah dalam bentuk isbat pujian ke atas Allah Taala.