Pasaran sudah jatuh sedikit tetapi risiko semasa agak tinggi
Dalam tempoh dua minggu lepas, pasaran saham agak tergugat terutamanya
disebabkan perkembangan luar negara yang negatif akibat krisis Zon Euro
yang masih belum reda walaupun sudah begitu lama berlarutan.
Berikut ialah carta pergerakan indeks FBM KLCI untuk tempoh 5 tahun lepas:
Dipetik daripada Bursastation
Dari perspektif jangka masa yang lebih panjang, kejatuhan masih kecil
tetapi ada beberapa risiko besar yang dihadapi oleh ekonomi global buat
masa ini.
Kemelut Greece dan Zon Euro
Rakyat Greece baru-baru ini menolak parti-parti yang membuat perjanjian
dengan pemimpin kesatuan kewangan Euro untuk melaksanakan pelan
'austerity' atau penghematan. Ini bermakna pakej bantuan 'bailout'
mungkin dipertimbangkan semula dan terdapat risiko Greece keluar
daripada kesatuan mata wang tersebut.
Ini akan menimbulkan kesan besar kerana negara tersebut pasti tidak
dapat menjelaskan hutangnya. Perkembangan ini boleh menimbulkan tekanan
yang amat negatif terhadap pasaran kewangan dan ekuiti.
Di samping itu, Sepanyol juga menghadapi masalah kewangan serius dan
memerlukan lebih banyak bantuan. Semua perkembangan ini telah menggugat
pasaran.
Walaupun senario tahun lepas adalah agak sama, seperti yang dilihat pada
kejatuhan pasaran dalam bulan September 2011, kali ini 'endgame'
sebenar dijangka berlaku kerana kesannya tidak boleh lagi dilengahkan ke
masa depan.
Penyederhanaan China
Perkembangan di China juga sedikit membimbangkan, walaupun gergasi Asia
tersebut tetap akan mencapai pertumbuhan, cuma tidak seperti biasa,
mungkin hanya pada sekitar 7 - 8%. Namun begitu terdapat beberapa
industri yang mungkin terjejas seperti hartanah dan perkapalan.
Potensi Masalah Defisit Amerika Timbul Kembali
Pada Januari tahun ini, ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan
oleh para pemimpin Amerika berkenaan defisit mereka. Potongan
perbelanjaan automatik akan dibuat jika tiada resolusi dicapai. Ini
meimbulkan sedikit ketidakpastian lebih-lebih lagi kerana pilihan raya
Presiden akan diadakan pada hujung tahun ini.
Sudut Positif
Dari sudut positif, permintaan tempatan Malaysia masih kukuh dan memacu
ekonomi negara. Tetapi jika keadaan luar menjadi bertambah buruk, memang
sukar untuk bertahan. Walau apa pun, dari segi ekonomi Malaysia
mungkin dapat terus berkembang. Cuma yang tidak pasti ialah bagaimana
kesan terhadap pasaran saham.
Satu risiko dalaman bagi Malaysia ialah pasaran hartanah yang nampak
luar biasa sekarang di mana perbezaan antara harga hartanah dan juga
hasil pulangan sewa terlalu tinggi. Ramai orang kini membeli unutk
spekulasi. Sejauh mana pasaran ini dapat bertahan jika keadaan luar
merosot menjadi tanda tanya.
Kesimpulan
Buat masa ini, adalah amat sukar untuk meramalkan keadaan pasaran.
Adalah lebih baik jika pelabur menilai saham khusus dan melihat sama ada
syarikat tersebut mampu cemerlang dalam situasi semasa, dalam jangka
pertengahan dan juga jangka panjang, dengan mengambil kira
worst case scenario untuk tempoh enam bulan akan datang.
Walau apa pun, pelabur perlu amat berhati-hati dalam keadaan semasa.
2 comments:
Post a Comment
Links to this post