Friday, August 17, 2012

Persoalan Selawat Syifa’ 2

Persoalan Selawat Syifa’ 2

Selawat Syifa’ boleh diamalkan dan digunakan untuk merawat pelbagai penyakit. Selawat Syifa’ adalah seperti berikut:

اللهم عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ طِبٍّ الْقُلُوْبِ وَدَوَائِهَا، وَعَافِيَةِ الْأَبْدَانِ وَشِفَائِهَا، وَنُوْرِ الْأَبْصَارِ وَضِيَائِهَا، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارِكْ وَسَلِّمْ

Terjemahannya: Ya Allah, berilah rahmat ke atas junjungan kami, Nabi Muhammad SAW yang dengan berkat berselawat ke atas baginda, akan merawati hati-hati, menjadi penawar dan menyihatkan tubuh badan juga memberi kesembuhan penyakit serta mengurniakan cahaya penglihatan dan kurniakanlah juga rahmat keberkatan dan kesejahteraan ke atas keluarga dan sahabat Baginda.

Penjelasan Tentang Selawat Syifa’
Dalam rawatan Islam, penggunaan doa daripada ayat-ayat al-Quran, doa-doa daripada Hadith Nabi SAW atau doa-doa yang tidak mengandungi kata-kata pemujaan kepada makhluk atau mensyirikkan Allah adalah diharuskan. Salah satu doa atau selawat bacaan dalam rawatan penyakit adalah Selawat Syifa’.

Bagaimanapun timbul sedikit kekeliruan terhadap Selawat Syifa’ ini sehingga ada mensyirikkan Allah. Oleh kerana itu perlulah diberikan penjelasan berikut:

1. Selawat ini dinamakan Selawat Syifa’ dan bukan Muhammad Syifa’ bermaksud ikhtiar atau alat untuk mendapat kesembuhan adalah selawat dan bukannya tubuh badan Muhammad SAW.

2. Selawat ini terkenal diamalkan di seluruh dunia Islam dan diamalkan di seluruh dunia khasnya di Nusantara dengan tidak menimbulkan kekeliruan apa-apa kerana tidak pernah terlintas di dalam hati ulama yang memperkenalkan selawat ini untuk menyandarkan pengubatan penyakit dan menyandarkan kesembuhan kepada zat Nabi Muhammad SAW.

3. Selawat ini bukan baru tercipta, ia telah lama tersebar dalam masyarakat Islam. Ia terdapat dalam kitab at-Tibb an-Nabawi1. Dalam mukadimah pertamanya ditulis oleh Dr. Mahmud Muhammad at-Tahani, Profesor Madya di Kuliah Syariah Universiti al-Malik Abdul Aziz Makkah al-Mukarramah di baris pertama ditulis dengan Selawat Syifa’.

1Ibn Qayyim al-Jawziyyah: Maktabah wa Matba’ah al-Nahdah al-Hadithah al-Mamlakah al-‘Arabiyyah al-Sa’udiyyah, Makkah al-Mukarramah. Ditulis pada Mukadimahnya di halaman utama dalam kitab ini. Ditahqiq dan ditashihkan dan dikawal selia komentarnya oleh Fadilah al-Sheikh ‘Abd al-Ghani ‘Abd al-Khaliq Profesor Usul al-Fiqh Fakulti Syariah Islamiyyah.

4. Jika diandaikan Selawat Syifa’ itu mengundang kepada mensyirikkan Allah SWT seperti yang didakwa, apakah wajar selawat itu boleh berada dalam kitab terkenal at-Tibb an-Nabawi yang diterbitkan di Makkah al-Mukarramah dan ia tidak ada sebarang masalah yang diragukan. Tambahan pula yang mengusahakan penerbitannya seperti yang disebutkan tadi tidak pula mempertikaikan tentang Selawat Syifa’ tersebut lalu penerbitan itu diedarkan kepada bacaan awam. Jadi, dapat difahami bahawa jika selawat itu mengundang syirik kepada Allah SWT sudah pasti ia telah dipadam atau tidak diterbitkan untuk edaran orang ramai.

5. Yang menyatakan Selawat Syifa’ itu bermasalah kerana perkataan Tibb dalam selawat itu dii’rabkan sebagai Badal. Apa pun yang boleh dii’rab oleh pengkritik sepatutnya mengambil kira tajuknya iaitu Selawat Syifa’. Adapun yang mengamalkan selawat ini berhujah “tibbi” (طبّ) dalam kedudukan i’rab ialah mudhof ilaih (مضاف إليه) bagi mudhof (مضاف) yang dihazafkan atau dibuang. Pengkritik mengakui boleh ditakdirkan dengan takdir lughawi dengan mengandaikan ada perkataan yang sengaja dihazaf iaitu “salaata” (صلاة), berkedudukan maf’ul mutlak pada waktu yang sama ia mudhof (مضاف). Maka selepas itu terdapat lafaz “tibb” menjadi mudhof ilaih majrur, akan tetapi mereka mempersoalkan pula kewajarannya.


Jika ini diakui boleh diterima maka itulah yang sebenarnya Selawat Syifa’ iaitu selawat rawatan, bukan zat Muhammad sebagai penyembuh. Namun dikatakan pula bahawa takdir yang demikian itu tidak ada hujah dalam bahasa Arab untuk diterima pakai. Seolah-olah mereka mengatakan bahawa tidak ada dalam bahasa Arab kaedah nahunya yang boleh berbuat demikian. Dakwaan tersebut amatlah meleset dan merupakan dakwaan kosong yang sengaja atau terlupa dirujuk.

Sebenarnya dalam nahu Arab khasnya dalam kitab terkenal Syarah Ibn ‘Aqil (شرح ابن عقيل) juzuk yang kedua bab al-Idafah ditulis seperti berikut:



Terjemahannya: Terkadang dihazafkan (dibuang) Mudhof (sandaran) dan ditinggalkkan Mudhof Ilaih (yang disandarkan kepadanya) berbaris di bawah sama seperti disebut atau ditulis al-Mudhof. Akan tetapi dengan syarat yang dibuang itu ada contohnya atau imbasannya diatafkan seperti syair Arab yang tersebut.

Dalam syair itu jelas perkataan “nar” (نار) dibaca kasrah (majrur bi al-kasrah) kerana ia berkedudukan Mudhof Ilaih yang dibuang. Takdirnya “kull” (كلّ). Kalau dalam syair boleh dibuat sedemikian tentulah dalam penulisan dibolehkan juga. Bukan sahaja dalam syair Arab yang sememangnya menjadi hujah dalam nahu Arab malah dalam al-Quran al-Karim ada juga ayat yang dibuang mudhof.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 67:

مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الأرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٦٧)

Terjemahannya: “Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat dan (ingatlah ), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Dalam satu qiraat ada yang membacanya (الأخرةِ) dengan kasrah Ta takdirnya (يُرِيْدُ) bagi (الأخرةِ) dengan mentakdirkan (عَرَضَ اْلأَخِرَةِ).

Jelaslah bahawa ada kaedah bahasa Arab yang diambil daripada ayat al-Quran dan di dalam Syarah Ibn ‘Aqil bahawa diterima pakai hujah yang kuat bahawa mudhof (مضاف) boleh dibuang (dihazafkan) dan yang tinggal mudhof ilaih (مضاف إليه) majrur bi al-kasrah.

Oleh itu di dalam Selawat Syifa’ ada kalimah yang sengaja dibuang iaitu (صلاةً) bacaan asalnya ialah:

اللهم عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً طِبٍّ الْقُلُوْبِ وَدَوَائِهَا


l’rabnya maf’ul mutlak mudhof (مضاف) dan Tibb (طبّ) mudhof ilaih (مضاف إليه) (majrur bi al-kasrah). Qarinahnya ada dengan perkataan salIi (صلّ) iaitu ada perkataan salli (صلّ) sebelumnya. Salli (صلّ), adalah dalil yang menunjukkan ada perkataan sebanding dengannya yang dibuang iaitu salatan (صَلاَةً). Dengan itu hilanglah kekeliruan dan keraguan bahawa yang menyembuhkan bukan Muhammad, atau zat Muhammad atau tubuh badan Muhammad, tetapi yang menjadi bahan ikhtiar dan menyembuhkan ialah keberkatan selawat. Selawat adalah termasuk dalam amal soleh dan ianya tidak menyalahi syariat dan boleh diamalkan tanpa sebarang keraguan.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ عَشْرًا

Terjemahannya: “Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 1 kali, Allah SWT akan berselawat ke atasnya 10 kali ganda.”2

2Hadith riwayat Muslim [Kitab al-Salah, Bab (الصلاة على النبي - صلى الله عليه وسلم - بعد التشهد), no.hadith 912]. Lihat Muslim (2000), Sahih Muslim dalam Mawsu’ah al-Hadith, h.743.

Sumber:
Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din. Rawatan Penyakit Jasmani (1). 2012. Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia & Koperasi Darussyifa’ Berhad.

http://www.antalhaq.com/2012/08/persoalan-selawat-syifa-2.html

No comments:

Post a Comment