Monday, December 31, 2012

Bagaimana Dengan Emas Sekarang?

26 DISEMBER, 2012




Bagaimana Dengan Emas Sekarang?

Emas kini tidak begitu menyinar walaupun masih mendapat perhatian



Tahun lepas, semasa harga emas naik melambung sehingga hampir USD1,900, logam tersebut menjadi perbualan ramai. Saya melihat keadaan ini sama seperti bagaimana saham menjadi pelaburan hangat pada pertengahan tahun 1990an.



Walaupun sekarang apabila disebut sahaja emas, topik perbualan ialah scam syarikat emas yang diserbu Bank Negara Malaysia, yang hendak dibincangkan di sini ialah pelaburan emas sahih, sama ada menerusi emas fizikal atau akaun pelaburan emas.



Berasaskan carta pergerakan harga di bawah, harga emas telah mendatar, malah turun sedikit dalam tempoh 18 bulan lepas.





Dipetik daripada World Gold Council



Sebenarnya demam emas mula dirasai pada awal tahun lepas dengan pelbagai produk, buku, e-book dan sebagainya yang berkaitan dengan emas yang kian berleluasa. Banyak pihak yang mengambil kesempatan daripada trend ini.



Mungkin emas akan naik lagi, atau mungkin tidak. Bagi saya ini tidak penting kerana pada asasnya emas ialah aset yang tidak produktif dan tidak menjana nilai kepada ekonomi. Jika anda membeli emas, tiada nilai tambah dicipta apabila anda menjualnya pada harga yang lebih tinggi.



Hakikatnya anda menjual benda yang sama, tanpa penambahbaikan atau perubahan, dan mendapat untung daripadanya. Bagi mereka yang mengikuti blog ini memang sudah tahu saya kurang minat dengan emas, tak kiralah sama ada boleh buat duit atau tidak. (Boleh baca posting Meninjau Peruntukan Aset Anda dan Emas Akan Terus Naik Lagi?



Satu lagi perkara yang perlu diingat ialah emas tidak membayar dividen, tetapi dikenakan zakat 2.5%, maka jika harga mendatar atau menurun, zakat tetap perlu dibayar.



Walau apa pun, bagi ramai pelabur yang mula berjinak-jinak dengan pelaburan emas sejak 2010, mereka mungkin tidak mendapat keuntungan besar atau mungkin rugi. Sebaliknya golongan yang mendapat keuntungan paling besar ialah pelabur yang telah membeli emas sejak tahun 2000. Merekalah yang mendapat untung berlipat kali ganda.



Membeli apabila ia sudah menjadi hangat dan semua orang terlibat dalamnya adalah resipi untuk gagal. Ini benar dalam segenap jenis pelaburan, sama ada emas, saham atau pun hartanah.



Prinsip yang patut diikuti oleh value-hunters ialah membeli sesuatu aset yang kurang mendapat perhatian tetapi amat berpotensi, pegang sehingga mula mendapat perhatian, dan jual apabila ia menjadi topik perbincangan hangat.

Posted by Razali Razman at 11:36 PTG

E-melkan Ini

No comments:

Post a Comment