Monday, August 26, 2013

Beli Saham atau Unit Amanah Saham?

Beli Saham atau Unit Amanah Saham?
Menentukan pelaburan mana yang lebih sesuai untuk anda

Dengan kenaikan pasaran saham baru-baru ini, saya dapati ramai orang yang mula menunjukkan minat terhadap saham. Begitu juga unit amanah yang melabur dalam saham atau dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai equity fund.

Persoalannya mana satukah yang lebih sesuai untuk anda? Anda boleh menjawab persoalan ini dengan menilai beberapa faktor berikut.

Pengurusan Wang

Apabila melabur terus dalam pasaran saham, anda perlu membuka akaun dagangan dan depositori pusat (CDS) dengan syarikat broker. Selepas itu, anda menguruskan jual beli saham sendiri. Proses pemilihan dan jual beli saham dikawal sepenuhnya oleh anda.

Untuk melabur dalam unit amanah, anda boleh beli menerusi ejen atau melalui Internet dan perlu membuat dua pilihan. Pertama syarikat unit amanah dan kedua dana khusus yang ingin dilaburkan. Segala urusan pentadbiran dana dan jual beli pelaburan akan diuruskan oleh pengurus dana.

Kos Pelaburan

Kos pelaburan adalah satu lagi faktor penting, kerana dengan menyerahkan wang kepada pengurus dana, anda akan membayar kos lebih tinggi. Apabila membeli unit amanah, terutamanya menerusi kaedah biasa, pelabur dikenakan caj jualan sekali kira-kira 2% – 5.5% daripada harga belian.

Kos ini berbeza-beza mengikut jenis dana dan kaedah pembelian. Paling murah ialah dengan membeli unit amanah menerusi Internet pada kadar 2% sahaja. Selain itu, yuran pengurusan bersamaan kira-kira 1.5% dikenakan setiap tahun.

Bagi saham pula, kos paling tinggi untuk urus niaga saham (iaitu membeli saham dan menjualnya kembali) adalah 1.5% jika melalui broker biasa. Kosnya lebih rendah daripada 1% jika anda beli menerusi akaun Internet T+3, dan lebih rendah lagi jika membeli dengan akaun tunai menerusi Internet.

Tempoh Pelaburan

Pelaburan saham boleh dibuat untuk jangka pendek dan juga jangka panjang kerana kos urus niaganya lebih rendah. Tetapi bagi unit amanah, pelaburan lazimnya tidak sesuai dibuat untuk jangka pendek kerana kos jualan tinggi yang dikenakan. Jika kita selalu menjual beli unit amanah, akhirnya kita akan rugi kerana terpaksa membayar kos jualan berulang kali.

Mempelbagaikan Pelaburan

Jika melabur sendiri dalam saham, anda perlu mempelbagaikan saham anda sendiri. Jika anda hanya ada RM10,000 untuk dilaburkan, paling banyak pun anda boleh beli dua atau tiga saham berlainan secara kos efektif.

Menerusi unit amanah, anda mempelbagaikan pelaburan dengan serta-merta kerana portfolio pelaburan unit amanah merangkumi banyak saham atau sukuk. Salah satu daripada kelebihan unit amanah ialah pelabur dapat mempelbagaikan pelaburan walaupun dengan melabur hanya RM1,000.

Minat Membuat Penilaian

Sanggupkah anda buat sedikit penyelidikan untuk menilai saham? Jika anda berminat untuk menyelidik prestasi syarikat, meninjau pergerakan harga, menentukan prospek masa depan, mengkaji keadaan ekonomi dan pasaran, pelaburan saham sesuai untuk anda.

Bagi mereka yang langsung tiada asas dalam bidang perakaunan dan tidak mahu meluangkan masa untuk belajar tentang saham, pelaburan paling baik ialah unit amanah kerana anda akan dipimpin dalam proses pembelian dan wang anda diuruskan oleh pengurus profesional.

Risiko

Apabila melabur dalam saham, pelabur menghadapi risiko yang dikaitkan dengan saham individu termasuk syarikat mengalami kerugian, muflis, berlaku penipuan dalam akaun syarikat atau kemerosotan industri syarikat, di samping risiko umum seperti keadaan ekonomi dan pasaran saham.

Sementara itu bagi unit amanah, selain daripada risiko umum seperti keadaan ekonomi dan pasaran, risiko lain termasuk risiko kegagalan syarikat unit amanah, risiko penipuan, dan juga risiko kelemahan prestasi pengurus dana.

Kesimpulan

Pilihan sama ada melabur dalam saham atau unit amanah bergantung kepada faktor masa, minat dan kos. Jika anda ada masa dan berminat untuk membuat analisis saham dan mahukan kos pelaburan lebih rendah, pelaburan saham amat sesuai untuk anda. Tetapi jika anda tiada masa dan kurang berminat tentang pelaburan, beli unit amanah untuk mendapatkan khidmat pengurus wang profesional.

Posted by Razali Razman at 10:29 PTG E-melkan Ini
BlogThis!
Kongsi ke Twitter
Kongsi ke Facebook

Labels: Pelaburan Saham, Unit Amanah

No comments:

Post a Comment