Tuesday, October 30, 2012

Strategi Beli Saham Berasaskan Pulangan Dividen

Strategi Beli Saham Berasaskan Pulangan Dividen
Sesuai untuk keadaan semasa di mana indeks di paras tinggi tetapi
wujud ketidakpastian ekonomi dan politik dalam tempoh terdekat

Saham yang membayar dividen lazimnya dianggap sebagai saham yang mantap, dengan ciri-ciri bertahan (defensive). Dividen ialah agihan daripada untung syarikat, dan merupakan bukti fizikal paling nyata bahawa sesebuah syarikat adalah kukuh, mencatat untung dan mempunyai tunai untuk memberi ganjaran kepada pelabur.

Kaedah melabur berasaskan dividen yield atau pulangan dividen ialah antara kaedah pelaburan saham yang paling konservatif. Kaedah ini sudah tentulah membabitkan pelaburan jangka panjang kerana dividen lazimnya hanya dibayar hanya sekali atau dua kali setahun sahaja.

Jika kita dapat mencari syarikat yang mampu meningkatkan dividen dalam jangka panjang, kita akan akan melihat pulangan dividen kita meningkat tahun demi tahun, dan ini belum lagi mengambil kira keuntungan modal yang dicapai daripada kenaikan harga saham.

Apabila dividen meningkat, maka harga saham pun akan turut naik kerana lebih ramai pelabur tertarik kepada saham tersebut.

Cuba kita ambil satu contoh sebuah syarikat yang cukup mantap, tetapi belum terlalu popular di kalangan pelabur, iaitu APM Automotive. Pendek kata sebuah syarikat kukuh biasa yang boleh dibeli oleh pelabur.

Kita lihat cartanya:


Dipetik daripada Bursastation

Andaikan anda membeli saham APM Automotive pada harga RM2.20 pada tahun 2007. Waktu itu, pulangan dividen kasar yang anda terima ialah 0.14/2.20 = 6.36%.

Jika anda memegangnya sehingga 2011, anda akan menerima dividen kasar 32 sen. Pulangan dividen anda sekarang ialah 0.32/2.20 = 14.55%! Bukan itu sahaja, harga telah naik ke purata kira-kira RM5.00, memberikan anda keuntungan modal pula.

Mengapa saya menyentuh tentang strategi dividen sekarang? Saya bimbang ekonomi global mula
menunjukkan tanda semakin perlahan, tetapi pasaran saham berada di tahap tertinggi. Kaedah pelaburan ini adalah yang paling konservatif jika pelabur masih mahukan pendedahan saham.

Lazimnya, jika penurunan berlaku, saham yang membayar dividen mampu bertahan (walaupun akan jatuh juga) kerana pelabur masih boleh mendapatkan pulangan dividen yang diberikan, sambil menantikan sentimen pasaran kembali pulih.

No comments:

Post a Comment