Thursday, November 29, 2012

Beli Saham Di Bawah Harga IPO

Beli Saham Di Bawah Harga IPO? Nanti Dulu!

Jangan buat keputusan beli saham berasaskan harga IPO

Kejatuhan harga Astro di bawah harga IPO begitu pantas agak menakjubkan, tetapi bukan sesuatu di luar kelaziman.  Cuma yang memeranjatkan pelabur ialah saham ini ialah satu 'nama besar' dan jatuh begitu cepat selepas penyenaraian, iaitu pada hari kedua lagi.  Lazimnya saham akan turun secara beransur-ansur selepas kehangatan beberapa bulan pertama.  

Kita lihat senarai 30 IPO terbaru dan prestasinya setakat setakat ini:


Dipetik daripada Bursastation

Daripada senarai ini, kita lihat bahawa 15 atau 50% daripada saham berada di bawah harga IPO!  Adakah ini memeranjatkan anda?  Perlu diingat bahawa indeks kita berada hampir di paras tertinggi dalam sejarah dan 50% daripada IPO terbaru sudah jatuh di bawah harga penyenaraian.

Tetapi kejatuhan ini bermakna saham tersebut sudah undervalued dan boleh dibeli. Malah, apabila menilai saham seperti ini, harga IPO tidak harus diambil kira lagi dalam keputusan untuk membeli atau menjual.

Ada saham yang mungkin patut dibeli walau pun berada melebihi harga IPO dan ada yang langsung tak patut disentuh, walaupun telah jatuh jauh di bawah harga IPO.

Sekiranya anda sedang mempertimbangkan sesuatu saham yang telah jatuh di bawah harga IPO, saya syorkan anda membeli hanya jika syarikat tersebut sudah mempunyai rekod keuntungan sebagai sebuah syarikat tersenarai.

Ini bermakna kalau boleh tunggu sehingga ada rekod kewangan sekurang-kurangnya setahun, atau setidak-tidaknya syarikat telah mengumumkan keputusan untuk dua suku tahun (bersamaan separuh tahun).

Ini akan membolehkan kita meramalkan kemampuan syarikat menjana untung untuk tahun semasa dan juga tahun akan datang dan kedudukannya dalam keadaan ekonomi semasa.  

Selain itu, analisis perlu dilakukan sama seperti kita menganalisis untuk membeli syarikat lain. Tidak ada jalan pintas dalam hal ini.

Kesimpulannya ialah jangan terburu-buru untuk membeli saham IPO yang harganya telah jatuh di bawah harga IPO sehingga terdapat rekod keuntungan yang secukupnya yang membolehkan kita membuat penilaian.

Perlu diingat bahawa kita ada banyak pilihan saham di Bursa Malaysia, tidak perlu terlalu tertarik dengan saham IPO sahaja.  Anggap dan nilai semua saham dengan cara yang sama.

No comments:

Post a Comment