Wednesday, January 2, 2013

Pasaran Saham Naik Pada 2012?

Pasaran Saham Naik Pada 2012?

Walaupun 30 saham utama naik, indeks yang lebih luas turun 

Headline dan ulasan mengenai pasaran saham pada tahun baru ini akan melaporkan bahawa pasaran saham telah naik sebanyak 10% dan mencatatkan prestasi yang memberangsangkan.  Ini kerana ukuran dibuat berasaskan kedudukan indeks FBM KLCI, yang hanya diwakili 30 saham dengan modal terbesar di BSKL

Tetapi jika kita meninjau pasaran secara keseluruhan, gambaran berbeza diperolehi.  Kita lihat prestasi FBM KLCI pada tahun 2012.


Bursastation

Kita dapati indeks ini meningkat lebih 10%. Mungkin ini disebabkan oleh minat terhadap saham-saham bermodal besar oleh pelabur institusi dan juga prestasi memuaskan syarikat tersebut.  Tetapi saya syak ada aktiviti window dressing di mana saham ini ditolak naik setelah jatuh pada bulan November.  

Pergerakan hari dagangan terakhir 2012  memberikan sedikit intaian tentang perkara yang berlaku.  Pada saat-saat terakhir, daripada nilai negatif, indeks telah naik secara mendadak sebanyak 7 mata membolehkan FBM KLCI ditutup pada paras tertinggi dalam sejarah.

Sebaliknya jika kita lihat FBM Mid 70, iaitu indeks saham yang mewakili 70 saham bermodal terbesar yang seterusnya selepas FBM KLCI, kita dapati gambaran yang sedikit berbeza.


Bursastation

Jelas bahawa saham dalam indeks ini juga mendapat perhatian pelabur institusi tetapi kenaikannya tidak sebesar FBM KLCI.  Mungkin indeks ini memberikan gambaran lebih adil tentang paras saham di BSKL.

Akhir sekali kita tinjau FBM Small Cap, yang meliputi hampir semua saham lain selain dariada 100 saham bermodal terbesar.


Bursastation

Anda mungkin terkejut bahawa nilai indeks sebenarnya turun sebanyak lebih 2%.  Perlu diingat indeks ini mewakili jauh lebih banyak saham berbanding FBM KLCI dan FBM 70.

Akhir sekali kita lihat gambaran pergerakan dua indeks, iaitu FBM KLCI dan FBM Small Cap dalam satu carta.  Perbezaannya sungguh ketara sekali.


 
Bursastation

Menurut Ken Fisher, tidak kira saham bermodal besar atau bermodal kecil, akhirnya dalam jangka panjang pulangan yang diberikan adalah sama. Ada masanya saham bermodal besar naik dengan ketara dan ada kalanya saham bermodal kecil yang naik.

Justeru pelabur harus mengambil kira hakikat ini dalam keputusan pelaburan mereka pada 2013.  Selain itu, pilihanraya yang pasti diadakan pada tahun ini juga menimbulkan ketidakpastian yang menyebabkan sukar meramalkan pasaran dalam jangka pendek.


No comments:

Post a Comment