Tuesday, March 19, 2013

Bab Yang Ketiga: Bagaimana Hendak Mencapai Maqam Wali (2)

Bab Yang Ketiga: Bagaimana Hendak Mencapai Maqam Wali (2)
Tuesday, March 19, 2013

Tarikat Sufiah Dan Perkembangannya

Mengikut sejarah, perkembangan ilmu tasauf dan tarikat di zaman-zaman yang silam sangat pesat dan telah berjasa besar dalam mengukuhkan keimanan dan melahirkan kesusilaan budi yang lohor. Tetapi buat pandangan dunia Islam moden hari ini, tarikat tidak lagi merupakan demikian malah dianggap suatu perkara khurafat dan bidaah belaka kerana umat Islam telah tersilap mengambil pengertian terhadap ilmu tasauf dan tarikat sufiah dan pula kerana umat Islam di zaman moden ini sudah banyak kehilangan moral sifat-sifat kerohanian, tambahan pula kerosakan dunia hari ini adalah disebab tekanan-tekanan meniru peribadi kebudayaan Barat (maksiat) yang sangat pesat meluas di rantau cerok kerana memang ia sangat sesuai dengan peribadi nafsu amma-rah sehingga kebudayaan umat Islam sendiri hampir tertelan bulat-bulat oleh kebudayaan Barat.

Maka kepada zaman-zaman yang seumpama ini bolehkah hendak diharap dapat membentuk sebuah masyarakat Islam yang makmur dalam erti kata yang sebenar yakni dalam serba maju baik segi kebendaan atau pun kerohanian? Pada menjawabnya mustahil, melainkan jika ada pemimpin yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab terhadap agama Allah dimana ada keazaman hendak menjalan polisi politik supaya ruh islamiah dan keimanan dapat hidup berkembang kembali dalam majoriti setiap anggota masyarakat. Kebenaran dan keikhlasan terhadap ugama Allah sukar hendak dicari kecuali jika seorang pemimpin itu benar-benar kaya dengan sifat-sifat kerohanian sufiah yang tetap waja. Tinjaulah pemimpin-pemimpin besar dahulu umpama Nabi kita Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya adalah terdiri dari manusia-manusia yang kaya dengan sifat-sifat kerohanian sufiah.


Dengan demikian maka tak hairanlah bahawa negara-negara iman di zaman itu dapat ditegapkan di bumi Allah yang halal ini. Dengan keterangan tadi dapatlah ditegaskan bahawa tarikat-tarikat itu adalah sekolah-sekolah orang sufi untuk mengeluarkan manusia-manusia wali dalam bentuk projek kerohanian (Islam) secara praktik untuk membimbing masyarakat ke arah kemajuan yang benar dan diredhai Allah. Ini (manusia-manusia wali) semuanya dapat dilakukan oleh pimpinan guru mursyid lagi arif dengan teratur. Tetapi di sana, oleh kerana banyak orang-orang atau puak-puak sufiah yang merasa dirinya layak menjadi syaikh sebelum ia ada kelayakan yang sebenar menjadi syaikh maka timbullah pula bentuk tarikat-tarikat yang direka baru oleh mereka. Tarikat-tarikat umpama ini tidak diakui sah oleh syaikh-syaikh yang masyhur maka dari sinilah timbulnya tarikat-tarikat palsu.

Perkara Bidaah (بدعة)

Berhubung dengan masaalah bidaah, kaum sufi pun mengakui bahawa setengah-setengah bidaah sufiah mustahak dilakukan dengan sebab ada tujuan-tujuan yang hasanah (baik). Pendek kata segala masaalah dalam dunia ini tak boleh lari dari bidaah kalau hendak diertikan bidaah itu dengan erti yang luas. ulama fikah, ulama usuluddin, ulama tasauf dan ulama-ulama lain juga semuanya masing-masing sedikit sebanyak ada sahaja mengada-ngadakan perkara bidaah, kaum fikah mensunatkan pembinaan masjid yang cantik-cantik sedangkan diwaktu Rasulullah tidak begitu. Kaum usuluddin mentakwil ayat-ayat mutasyabihah (متشابهة) supaya orang awam tidak tersalah faham sedangkan di zaman Rasulullah mendiamkan sahaja dan begitu juga perkara buat perayaan maulud dan sebagainya - semuanya itu adalah bidaah belaka.

Dan banyak lagi perkara-perkara bidaah yang dilakukan oleh pakar-pakar ilmu lain dalam masyarakat lain pula. Pendek kata kebanyakan jenis ilmu sedikit sebanyak tak sunyi daripada ada sahaja perkara-perkara bidaah dan tak boleh lari lagi daripada hukum tabii ini. Oleh itu, dapatkah pula kita berpegang kepada kaedah; “tiap-tiap bidaah itu sesat dan tiap-tiap sesat itu dalam neraka”. Bagaimana sabda Nabi SAW dalam hadis:

كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ وَكُلُّ ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ؟

Jawabnya, tidaklah boleh kita berpegang kepada kaedah terlampau umum itu kerana kalau demikian, tentulah orang membina masjid cantik, buat perarakan maulud secara besar-sebagainya akan masuk neraka kesemuanya.

Sebenarnya kaedah itu mengikut suatu pendapat, dikehendaki khusus pada masaalah tauhid sahaja iaitu manakala berlaku bidaah pada masaalah-masaalah umpama iktikad yang tersalah jua maka tentulah ia sesat dan manakala sesat tentulah masuk neraka.

Suluk (سلوك)

Suluk ertinya segala daya-usaha ikhtiar yang sedang berjalan untuk mencapai maqam makrifat pada Allah di bawah pimpinan guru tasauf yang arif lagi mursyid.

Orang suluk dikatakan “salik - ” iaitu orang yang menjalani segala daya-usaha memerangi hawa-nafsu dan syaitan dengan mengekalkan amalan wirid tarikat yang diberi oleh guru untuk mencapai matlamat akhir iaitu makrifat pada Allah SWT.

Mencapai makrifat pada Allah SWT bukanlah perkara senang malah tak berbau oleh orang awam umpama kita yang pengecut kepada mujahadah dan ibadat ini kerana makrifat itu pakaian orang-orang wall, para anbia dan rasul-rasul. Makrifat mengikut istilah tasauf ini sangat berbeza dengan makrifat usuluddin kerana makrifat usuluddin itu ialah membicarakan mengenal dalil tentang wujud Allah Taala atau mengenal Allah dengan dalil adanya makhluk ini dan termasuk juga mengenal segala sifatNya yang wajib dan yang mustahil dan yang harus baginya.

Tetapi makrifat di sisi tasauf ialah mengenal Allah dengan jalan kehadiran suatu rasa dzauk yang dinamakan “syuhud” dan syuhud ini dicampak oleh Allah ke dalam hati seorang wali atau seumpamanya setelah hati itu bersih dari karat hawa-nafsu syaitan dan keduniaan. Perasaan dzauk (syuhud) yang menghasilkan makrifat sufiah umpama ini tidak akan tercapai melainkan oleh orang wali. Dan tidak dikatakan makrifat melainkan orang arif billah (wali) iaitu orang yang mengenal Allah dengan jalan hadir suatu kedapatan dzauk (syuhud) dan di waktu itu terdapatlah kepadanya fikiran-fikiran bernas, ilmu pengetahuan yang indah-indah dan ilham-ilahm atau rahsia-rahsia yang luar-di luar batas kekuasaan otak manusia.

Dengan penjelasan-penjelasan itu dapatlah kita faham erti suluk mengikut istilah tasauf yang sebenar. Di sana terdapat pula suluk pertapaan namanya, suluk ini sangat berbeza dengan pengertian suluk tasauf yang suci. Iaitu suluk secara pertapaan bagaimana terdapat di gua-gua atau sebagainya. Dan amalan-amalan yang dibuat dalam masa pertapaan itu adalah semata-mata bertujuan mencari muslihat dunia, umpama menuntut ilmu kebal, ilmu pengasih atau sebagainya. Suluk-suluk umpama ini banyak terdapat di negeri Jawa (Indonesia) dan juga di tanahair kita.

Di sana terdapat pula suluk khadam iaitu suatu upacara amalan-amalan yang dibuat dalam masa yang tertentu kerana menuntut perjumpaan khadam. Apabila berjaya bersahabat dengan khadam maka segala hajat tuannya dapat ditunaikan oleh khadam bila ia kehendaki.

Suluk-suluk umpama tersebut tidaklah termasuk dalam perbicaraan ilmu tasauf malah ia terkeluar dari kehendak tasauf. Sayugialah diingat dan difaham supaya tidak terkeluar atau ter-tipu suluk-suluk bertujuan dunia itu dengan suluk-suluk cara tasauf yang sebenar.

Fatwa Penting Untuk Pembaca-Pembaca Kitab Tasauf

Adalah mustahak difaham bahawa kitab-kitab tasauf itu mempunyai tiga peringkat:

Yang Pertama - Tasauf dzawahir (ظواهر) iaitu segala kitab yang isi karangannya adalah perbicaraan jenis lahir yang tidak berapa mendalam yakni boleh dibaca dan difaham secara persendirian jika orang itu menguasai bahasa Arab, kitab-kitab umpama itu ialah seperti:
إحياء علوم الدين للغزالي
منهاج العابدين للغزالي
dan sebagainya tetapi jika berguru kepada yang ahli adalah lebih baik dan sempurna.

Yang Kedua - Tasauf sederhana iaitu kitab-kitab yang isi karangan tidak lahir sangat dan tidak pula melampau tinggi. Kitab-kitab umpama ini ialah seperti kitab-kitab:
حكم ابن عطاء الله
إيقاظ الهمم
الفتوحات الإلهية
dan sebagainya, kitab-kitab umpama ini mustahak berguru kepada yang ahli kerana ia tak boleh difaham dengan pembacaan sendiri, kalau dirasa faham pun mungkin menyeleweng.

Yang Ketiga - Tasauf bawatin (بواطن) iaitu kitab-kitab jenis karangan berat untuk difaham kandungan isinya dan kebanyakan isinya tak boleh difaham oleh otak fikiran tetapi dapat difaham setelah mengalami sendiri dzauk-dzauk sufiah. Kitab-kitab umpama itu dilarang (diharam) mengajar oleh setengah syaikh-syaikh sufiah yang arif. “الفتوحات المكية” karangan Syaikh Ibn Arabi dan “الإنسان الكامل” karangan Syaikh Abdul Karim bin Ibrahim al-Jaili dan juga karangan “فهو من الحكم” Ibn Arabi adalah termasuk dalam bahagian karangan ini dan banyak lagi kitab-kitab yang seumpama itu.

Oleh yang demikian tak sayugia bagi orang awam yang umpama kita ini cuba hendak mengupas dan mengorek isi kandungan kitab-kitab umpama itu kerana sudah tentu kitab jenis tasauf bawatin ini tak dapat difaham dengan otak fikiran tetapi dapat difaham dengan atau setelah mengalami makrifat sendiri.

Oleh itu siapa-siapa yang hendak mencuba mengupas masaalah-masaalah “wahdatul-wujud” atau “al-ittihad” atau seumpamanya sudah tentu menyeleweng dan mengelirukan fahaman orang ramai kecuali guru yang rasikh (alim) dan pandai takbir dalam ilmu ini. Oleh sebab itu maka tak hairanlah setengah-setengah kitab tasauf jenis karangan baru sekalipun ia dikeluar dari negeri-negeri umpama Timur Tengah, terdapat banyak menyeleweng dari kehendak hakikat yang sebenar. Barangkali kerana ia dikarang oleh orang bukan ahli. Apatah lagi sangat-sangatlah kacau-bilau dan menyeleweng apabila terdapat kitab-kitab dari pengarang-pengarang yang engkar kebenaran tasauf dan mungkin juga kitab-kitab terjemahan tasauf dari Arab ke Inggeris pun termasuk dalam bahagian ini sekalipun penterjemah itu ahli bijak-pandai kesusasteraan Arab.

Kesilapan Penulis Tasauf Zaman Moden

Kesilapan penulis tasauf di zaman moden hari ini ialah mengemukakan ilmu tasauf dari segi budi pekerti dan sifat-sifat aulia Allah supaya dicontohi oleh generasi baru tanpa mengemukakan ajaran-ajaran mereka bagaimana hendak mencapaikan sifat-sifat itu sedangkan pelajaran tasauf tidak bermaksud begitu. Tetapi yang menjadi pokok dalam ilmu tasauf ialah menyuci nafsu atau hati lebih dahulu dengan kaedah mujahadah dan amalan tarikat. Bila kesucian hati terlaksana maka seluruh sifat-sifat kerohanian sufiah itu akan tercapai sendiri secara otomatik. Bagaimanakah hendak menzahidkan diri umpamanya sedangkan hati masih kotor dengan sifat ketamakan dunia? Mustahil bagi generasi baru dapat mengambil sifat zahid atau seumpamanya dijadikan sebagai budi pekertinya selagi ia tidak mengambil jalannya.

Jadi dengan sebab itu adalah dibimbang timbul tuduhan atau salah faham bahawa ilmu tasauf tidak sesuai lagi dengan zaman ini kerana diri perkara mustahil yang tidak dapat dihidu bau oleh generasi baru, oleh itu maka dikatakanlah tasauf itu sebagai khurafat dan bidaah yang tidak dapat diterima oleh akal siuman untuk amalan di zaman moden ini.

Sumber:
Mustapha Mohamed Al-Jiasi, Mengenal Diri Dan Wali Allah. Pustakan Aman Press, Kota Bharu. Cetakan kesepuluh 1984.

No comments:

Post a Comment