Tuesday, March 19, 2013

Pulangan Realistik Jangka Panjang Unit Amanah

Pulangan Realistik Jangka Panjang Unit Amanah
Pelabur boleh sasar pulangan tahunan 8-14% untuk tempoh 5-10 tahun

Dari semasa ke semasa, saya membuat tinjauan tentang prestasi dana ekuiti patuh syariah. Tinjauan kali ini bukan untuk menunjukkan dana mana yang cemerlang kerana pembaca boleh menilai sendiri daripada jadual di bawah. Sebaliknya saya ingin memberikan unjuran pulangan realistik yang boleh diterima oleh pelabur dana ekuiti dalam jangka panjang.

Kini semakin banyak dana patuh syariah yang mempunyai rekod pencapaian 10 tahun. Pada pendapat saya, 10 tahun ialah tempoh masa yang cukup lama dan cukup adil untuk menilai prestasi dana. Jika dana gagal catatkan prestasi yang baik dalam tempoh 10 tahun, bila lagi?

Jadual di bawah menunjukkan prestasi dana unit amanah ekuiti patuh syarikat yang dinilai mengikut prestasi sepuluh tahun (lihat pada ukuran paling kanan sekali).


Morningstar Malaysia

Berasaskan jadual di atas, terdapat perbezaan prestasi yang ketara antara dana. Jika kita tersalah pilih dana, memang pulangan kita jauh ketinggalan. Kita dapati prestasi yang munasabah untuk disasarkan ialah pulangan terkompaun tahunan 8 - 14% untuk jangka masa 5 - 10 tahun.

Berikut adalah jadual prestasi dana yang dinilai berasaskan tempoh 5 tahun.


Morningstar Malaysia

Sementara itu, pulangan pelaburan bagi tempoh 5 tahun pula rata-rata pada paras antara 3 - 10%. Pulangan 5 tahun lebih rendah daripada 10 tahun kerana berlaku kegawatan ekonomi pada 2009, jadi prestasi kebanyakan dana terjejas. Tempoh 10 tahun memberikan gambaran yang lebih tepat terhadap prestasi dana.

Kita juga akan mendapati bahawa pulangan 3 tahun lebih tinggi daripada 5 tahun kerana pengiraan untuk tempoh ini bermula apabila saham berada pada paras rendah selepas kegawatan pada tahun 2008/2009.

Kesimpulan yang boleh dibuat berasaskan perbezaan pulangan ketara dalam tempoh masa yang berbeza ialah timing amat penting jika pelaburan dibuat untuk jangka masa lebih pendek. Bila anda membeli unit amanah akan turut menentukan pulangan yang diterima. Tetapi dalam jangka panjang, pulangan akan bersifat lebih stabil.

Selain itu, prestasi dana juga perlu dibandingkan dengan indeks pasaran. Perbandingan boleh dibuat dengan sebuah dana pasif yang menjejak indeks FBM KLCI, iaitu OSK-UOB KLCI Tracker,yang menghasilkan pulangan terkompaun tahunan 5.37% untuk tempoh 5 tahun dan 11.38% untuk tempoh 10 tahun.

Ini menunjukkan bahawa tidak banyak dana yang berjaya menewaskan prestasi dana pasif yang menjejak pergerakan indeks dalam tempoh tersebut, dan ini belum lagi mengambil kira kos jualan dana yang nyata lebih tinggi bagi dana ekuiti biasa berbanding dana indeks pasif.

(Nota: Lazimnya penanda aras dana patuh syariah ialah indeks FBM Emas, tetapi tiada dana atau ETF yang boleh dibeli oleh pelabur untuk menjejak indeks tersebut.)

Ada dua lagi perkara penting yang perlu dipertimbangkan apabila menilai pulangan di atas. Pertama, pulangan belum mengambil kira kos jualan dana ekuiti, yang kemungkinan besar antara 3 - 5.5%. Kos tersebut mungkin mengurangkan pulangan terkompuan tahunan sebanyak sehingga 0.5%

Perkara kedua yang perlu diberi perhatian ialah pulangan ini hanya diterima oleh pelabur yang membeli dan memegang untuk tempoh yang dinyatakan. Banyak penyelidikan akademik, terutamanya di AS, yang mendapati bahawa pelabur suka melakukan market timing dan menjual beli dana lebih kerap.

Ini menyebabkan pulangan yang diterima kebanyakan pelabur adalah lebih rendah daripada pulangan yang dicatatkan oleh dana akibat kesilapan timing dan juga kos jual beli secara lebih kerap.

Cara yang lebih selamat dan berkesan untuk melabur dalam unit amanah ialah dengan memilih satu dana yang baik dan memegangnya untuk jangka panjang.
Posted by Razali Razman at 4:44 PTG E-melkan Ini
BlogThis!
Kongsi ke Twitter
Kongsi ke Facebook

Labels: Unit Amanah

No comments:

Post a Comment