Cara Harun Ar-Rasyid Mendidik Anaknya
Thursday, March 7, 2013
Di bawah kepemimpinan Harun Ar-Rasyid (786-809 M), Khalifah kelima Dinasti Abbasyiyah, umat Islam mengalami masa keemasannya. Seluruh penterjemah Muslim, Yahudi dan Kristian berkumpul di Baghdad untuk mengalihbahasakan naskah-naskah ilmu pengetahuan dari bahasa asing ke dalam bahasa Arab.
Pusat-pusat kajian digalakkan oleh kerajaan sementara para ulama dan intelektual rajin menulis karya-karya mereka. Baghdad menjadi tujuan belajar dan degup jantung peradaban dunia. Di masa ini ilmu sangat dihargai dan para ilmuan mendapatkan perlakuan yang istimewa oleh masyarakat bahkan oleh Khalifah Abbasyiah sendiri.
Khalifah dan para Wazir menyerahkan anak-anak mereka kepada para ulama dan ilmuan Islam untuk diasah akal dan moralnya. Di hadapan para ulama dan imuwan muslim, tidak ada perlakuan khusus bagi anak-anak pegawai negara. Sebaliknya, para anak pegawai tersebut diharuskan menunjukkan sikap hormat yang tinggi terhadap guru mereka sebagai bukti penghargaan mereka terhadap ilmu pengetehuan.
Suatu ketika Harun Ar-Rasyid menghantar anaknya kepada Imam al-Ashma`i untuk belajar ilmu dan budi pekerti. Kemudian di suatu hari Harun Ar-Rasyid melihat anaknya menyiramkan air ke kedua-dua kaki gurunya itu untuk berwudhuk, sementara sang guru membasuh dan membersihkan kakinya sendiri.
Melihat hal ini, Harun Ar-Rasyid merasa tidak senang. Kemudian ia berkata kepada Imam Ashma`i: “Aku menghantar anakku kepada anda untuk diajarkan ilmu pengetahuan dan budi pekerti. Mengapa anda tidak menyuruhnya menyiramkan air dengan salah satu tangannya dan membasuh dan membersihkan kaki anda dengan tangannya yang lain?”
Demikianlah tradisi yang berlaku dalam dunia Islam di masa itu. Sebuah masa yang telah berjaya membawa umat Islam mencapai puncak kemajuannya dan berjaya menyumbangkan khazanah ilmu pengetahuan bagi masyarakat dunia.
Di masa ini pula sebahagian besar naskah-naskah klasik Islam di pelbagai bidang ilmu pengetahuan ditulis, baik ilmu yang berkenaan dengan disiplin agama mahupun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan sains dan teknologi.
No comments:
Post a Comment