Wednesday, January 11, 2012

Amalan Orang Hebat

Saya terkesan dengan tazkirah oleh seorang ustaz di sebuah surau yang memberi kesedaran minda kepada ahli jemaah. Beliau kata orang hebat-hebat semua berbakti kepada ibu bapa dan keluarga. Cuba lihat Imam Syafie? Walau sibuk macam mana pun telaah fiqh, Imam Syafie tetap meluangkan masa untuk keluarga, menunaikan segala keperluan ibunya. Selepas selesai baru beliau masuk bilik telaah ilmu dan beribadat.

Uwais al-Qarni, namanya harum dikalangan penduduk langit, berbakti pada ibunya. Pergi ke Mekah beliau dukung ibunya. Dr. Wahbah Zuhaili katanya beliau membasuh baju keluarganya. Itulah contoh-contoh diberikan beliau.

Saya pun berfikir sejenak, betul sungguh pandangan beliau. Rasulullah SAW seorang insan yang teragung amat berlemah lembut dengan keluarganya. Para Sahabat r.a pun begitu. Semuanya santun dengan keluarganya. Ustaz-ustaz saya, saya pernah melihat mereka menyidai kain keluarganya, tolong hiris bawang dan sama-sama memasak dengan isterinya. Orang yang berjiwa besar begitulah perangainya. Kalau dalam perang orang kata, “Berundur bukan beerti kalah”. Dalam pepatah Melayu kata, “Ular menyusur akar tak akan hilang bisanya.” Bermakna kita buat begitu bukan bermakna kita mengalah, tidak lari izzah seorang lelaki bahkan ia lebih mulia. Ikut tasawufnya kalau kita berlatih merendah begitu ia akan lebih memurnikan jiwa kita.

Jadi apa malu untuk tolong sidai baju keluarga? Takut kata queen control? Tak, bini kontrol lain caranya. Di tahun baru ini marilah kita tanam azam agar lebih berbakti dan santun dengan keluarga.

No comments:

Post a Comment