Friday, April 13, 2012

Nabi Muhammad Menerangkan Bagaimana Orang Baik-Baik Menolong Kerja Syaitan

Rabu, 11 April 2012
Nabi Muhammad Menerangkan Bagaimana Orang Baik-Baik Menolong Kerja Syaitan

Abu Hurairah melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki peminum arak dibawa ke hadapan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata, “Pukul dia.” Abu Hurairah melaporkan lagi, ada sebahagian orang yang ada di situ memukul lelaki itu dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar, ada yang memukul dengan baju. Apabila hukuman seslesai dijalankan, ada seseorang berkata, “Moga-moga Allah merendahkan kamu!” Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad berkata, “Jangan kata begitu, kerana saudara menolong syaitan menguasai dirinya.” -- Hadith No. 2159 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari
Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan Nabi Muhammad menegur seorang orang alim yang mengutuk pelaku dosa besar, di mana beliau menerangkan mengapa perbuatan mengutuk pedosa besar adalah salah.

Pada peristiwa itu ada seorang peminum arak dibawa ke hadapan Nabi Muhammad. Beliau pun menjatuhkan hukuman ke atas peminum arak itu.

Daripada teks hadith ini, kita dapat andaikan bahawa lelaki itu dibawa ke hadapan Nabi Muhammad dalam keadaan dia masih mabuk, kerana itulah Nabi Muhammad terus menjatuhkan hukuman.

Apabila peminum arak itu selesai menjalani hukuman ada seorang lelaki mengutuk dia dengan berkata, “Moga-moga Allah merendahkan kamu!” Kutukannya itu sangat berat sebab dia bukan sahaja mengutuk peminum arak itu, malah dia telah meminta supaya Allah mengutuknya juga.

Kita dapat andaikan bahawa si pengutuk adalah orang yang alim, yang baik amalan agamanya dan baik akhlaknya, di mana dia juga tidak meminum arak. Orang baik-baik sahaja yang berani secara terbuka mengutuk orang-orang yang tidak baik. Orang yang tidak meminum arak sahaja yang berani secara terbuka mengutuk orang yang minum arak.

Nabi Muhammad telah menegur si pengutuk dengan berkata: “Jangan kata begitu, kerana saudara menolong syaitan menguasai dirinya.”

NOTA: Hadith ini memberitahu bahawa perbuatan mengutuk secara terbuka orang Islam yang melakukan dosa besar adalah sebenarnya perbuatan menolong kerja-kerja syaitan. Pedosa yang dikutuk oleh orang alim akan membenci orang-orang alim. Apabila seseorang itu membenci orang-orang alim, maka pada saat itu dirinya sudah dikuasai oleh syaitan, dan akibatnya dia akan melakukan perkara-perkara yang syaitan mahukan, seperti membenci agama Islam, membenci ulamak, membenci ustaz-ustaz dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment