Friday, June 22, 2012

Bukan Kerana Bakat Tetapi Latihan Tertumpu





0 Jun, 2012
Bukan Kerana Bakat Tetapi Latihan Tertumpu

Talent is Overrated Dapati Latihan Tertumpu Punca Kecemerlangan

Saya baru sahaja membaca sebuah buku menarik bertajuk Talent is Overrated oleh Geoff Colvin. Dalam bukunya, penulis meninjau segala penyelikan di samping membuat kajian sendiri tentang faktor yang menentukan kejayaan.



Penulis mendapati bahawa ahli sukan, perniagaan atau pemuzik cemerlang semuanya hebat bukan kerana bakat, tetapi disebabkan latihan keras dan tertumpu yang dilakukan selama beratus-ratus jam..

Dalam buku tersebut, beliau mendedahkan bahawa satu kajian ke atas pemain catur bertaraf Grandmaster menunjukkan bahawa ada di antara mereka yang mempunyai IQ di bawah purata, tetapi tetap menjadi pemain hebat. Ini bermakna kemahiran permainan spesifik mereka dibina menerusi latihan gigih.

Di samping itu, beliau juga mendedahkan bahawa terdapat satu eksperimen di mana seorang dengan tahap IQ biasa, telah dilatih untuk mengingati siri nombor. Selepas latihan selama beratus jam, beliau boleh mengingati siri 82 nombor yang dibacakan kepadanya.

Tetapi apabila orang yang sama diminta mengingati abjad pula, beliau gagal melakukannya dan tahap ingatannya sama seperti orang lain. Ini menunjukkan bahawa untuk mencapai kejayaan latihan yang spesifik dan tertumpu diperlukan. Ini juga menunjukkan mengapa ramai orang boleh menghafal seluruh Al-Quran jika diberikan latihan sewajarnya.

Bagi Tiger Woods, pemain golf tersohor, penulis mendapati bahawa beliau bernasib baik kerana mempunyai bapa yang pandai bermain golf sebagai jurulatih, yang sanggup meluangkan masa dan memberikan tunjuk ajar kepadanya sejak usia tiga tahun. Ini bermakna beliau sudah mempunyai kelebihan daripada orang lain kerana telah mula berlatih lebih awal.

Menurut penulis, latihan keras yang dilakukan adalah amat spesifik dan dianggap 'tidak menyeronokkan' atau 'not fun'. Jika ia mudah, sudah tentu lebih ramai orang yang akan mencapai tahap tertinggi.

Contoh tidak terhad kepada sukan dan muzik sahaja, malah juga kepada ahli perniagaan dan penulis memberikan contoh seperti Jack Welch dan Steve Ballmer yang pada peringkat awal pendidikan dan kerjaya mereka, langsung tidak menunjukan tanda-tanda kecemerlangan.

Selain itu, latihan tertumpu juga boleh diamalkan untuk meningkatkan kemahiran seseorang dalam bidang bahasa, penulisan dan juga penyampaian.

Kesimpulannya, jika kita hendak menguasai sesuatu kemahiran atau bidang, jangan anggap batasannya ialah bakat kita, tetapi sebaliknya hadnya ialah sejauh mana kita sanggup bekerja untuk mencapainya. Ini menunjukkan masih belum terlambat bagi orang biasa seperti kita.
Posted by Razali Razman at 11:07 PTG

No comments:

Post a Comment