Friday, June 15, 2012

Tujuh Wali Melayu

Filed under: Uncategorized — jalanakhirat @ 9:16 pm

Mereka pernah berperanan di semenanjung Tanah Melayu termasuk Singapura antara akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 bagi menyekat pengaruh budaya penjajah Barat dengan benteng iman, ilmu dan amal. Mereka adalah ahli sufi yang bersiasah dakwah, menggunakan syakilah(stail) masing-masing dalam perjuangan jihad mereka bagi menyemarakkan lagi pegangan agama di kalangan bangsa Melayu sehingga kini begitu sinonim “Melayu-Islam”. Jasa-jasa-jasa besar mereka harus dikenang dan dicontohi terutamanya oleh generasi hari ini yang mempunyai cita-cita perjuangan murni menggemilangkan semula Islam.
Mereka dikenali sebagai wali hanya Allah s.w.t sahaja yang Maha Mengetahui (Wallahu a’lam). Keperibadian mereka begitu mulia dengan amalan-amalan bermartabat tinggi di sisi Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Mereka adalah kekasih Allah: Habib Nuh, Tukku Paloh, Tuan Tulis, Syeikh Said Al-Linggi, Syeikh Muhammad Nor Al-Kholidi, Tuk Kenali dan Tuan Hussein Kedah Al-Banjari.
Justeru amatilah jasa-jasa perjuangan, kebijaksanaan, kewarakan dan kemuliaan karamah daripada Allah s.w.t pada tujuh tokoh Melayu ini. “Mengingati orang soleh mendatangkan rahmah.” InsyaAllah, berbagai suri teladan terdapat dalam buku 7 WALI MELAYU.
1.: AS SAYID HABIB NUH Peranannya TersembunyiHadiri Sidang Wali-Wali Menunduk Gabenor yang Angkuh Wasiat Supaya Dikebumi Atas Bukit
..Di Singapura, nama As Sayid Habib Nuh sudah tidak asing lagi. Beliau berketurunan Rasulullah SAW menerusi nasab Zainal Abidin bin Sayadina Hussien r.a. Maqamnya yang terletak di atas sebuah bukit kecil di Jalan Palmer, sering dikunjungi pelawat teruatama hari-hari cuti.
Pengunjung maqam itu bukan saja daripada kalangan orang Islam Singapura dan Malaysia tetapi ramai juga dari negara-negara Asia lain. Ini menunjukkan Habib Nuh r.h. lebih masyhur selepas kematiannya berbanding semasa hayatnya.
Sebagai seorang wali Allah, pelbagai cerita pelik dan luar biasa berlaku pada dirinya, dan cerita-cerita itu belum ditulis dalam bentuk buku dan manakib. Tulisan ini memaparkan sebahagian daripada keistimewaan, karamah dan kejadian-kejadian aneh yang berlaku ke atasnya yang menggambarkan beliau sebagai orang kerohaniah yang mempunyai peranan tersendiri dan tersembunyi…
2. TUKKU PALOH: Ulama Regu SultanPencatur Dasar Luar Terengganu Keturunan Rasulullah Menuntut di Makkah Regu Sultan Zainal Abidin III Menentang Pertapakan British di Terengganu Berunding dengan British Memerintah Paloh dengan Hukum Islam Sembahyang Berimam Nabi Khidir as Mahkamah Keadilan Sendiri Amalan Tareqat dan Syahadat Tukku Kontroversi Syahadat Tambahan Tukku Paloh.
Tukku Paloh atau nama sebenarnya Sayid Abdul Rahman bin Muhammad Al Idrus adalah ulama kerohanian yang berkecimpung dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di terengganu. Beliau hidup dalam zaman pemerintahan lapan orang sultan silih berganti; paling lama dan paling kuat pengaruh beliau semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-11.
Kerana kewibawaannya, beliau diberi mandat oleh Sultan mentadbir kawasan Paloh dan mengawasi Hulu Terengganu. Beliau juga diterima sebagai penasihat pertama dan utama kepada Sultan dalam berbagai persoalan. Beliau tegas dan pintar dalam bidang diplomatik, dan sering diberi peluang mewakili Sulatan berunding degan pihak British sehingga pada zaman itu British gagal menjajah Terengganu.
Tukku Paloh terkenal sebagai seorang wali ALLAH yang mempunyai berbagai karamah dan sentiasa mendapat bantuan ALLAH SWT khusunya sewaktu mengendalikan urusan rakyat. Tukku Paloh adalah khalifah Tareqat Naqsyabandiah, dan beliau turut mengamal dan mengembangluaskan ‘Syahadat Tukku’ satu amalan yang disusun oleh ayahnya Tukku Tuan Besar.
Di antara anak murid dan pengikut Tukku Paloh yang terkenal ialah Haji Abdulu Rahman Limbong, Haji Mat Shafie Losong, Tuk Kelam, Tuk Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Haji Wan Emobong Paloh, Haji Abdullah Chik Fatani, Tuk Gajah, dan SUltan Zainal Abidin III.
3. TUAN TULIS: Tempat Rujuk MasyarakatRahsia Di Sebalik Gelaran TUan TulisPadam Kebakaran Besar di MakkahMengubat Secara RohaniahSuka Duduk Dengan Orang Jahil.
Nama sebenar Tuan Tulis adalah Haji Ismail bin Hussein, terkenal sebagai seorang wali ALLAH yang mendekati masyarakat dengan penuh hikmah. Beliau menjadi tempat rujuk orang ramai dalam pelbagai masalah, khususnya dikalangan penduduk Kuala Talang dalam daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Namanya turut dikenali di kalangan kerabat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, kerana beliau pernah mengubati Yang Dipertuan Besar yang pertama yang uzur di London pada tahun 1925. sedangkan pada ketika itu Tuan Tulis sebenarnya sudah meninggal dunia tiga tahun lepas.
Oleh kerana miskin, beliau tidak dapat membeli kitab-kitab yang menjadi teks pengajian sebagaimana yang dimiliki oleh pelajar-pelajar lain, “Setiap malam beliau menyalin matan kitab yang akan dipelajari pada keesokan harinya dengan cara meminjam dari pada kawan-kawannya. Begitulah tabiatnya,” cerita Tuan Haji ISmail Haji Hussein, imam Masjid Tuan Tulis di Kuala Talang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Melihat pada tabiatnya yang rajin dan tekun menulis itulah, guru dan sahabat-sahabat sepengajiannya memanggil beliau ‘Ismail Tulis’. Gelaran ini sungguh mesra sepanjang beliau dalam pengajian itu. Apabila tamat pengajian, orang-orang kampung menghormatinya pula dengan panggilan “Tuan Tulis”.
4. ASY SYEIKH MUHAMMAD SAID AL LINGGI: Ulama Tareqat Pencorak MasyarakatBertemu Rasulullah dalam suriDakwah ke Siam, Kampuchea dan SingapuraAnak Melayu Berjiwa BesarProfil Ringkas Penulis Manakib Syeikh Said Al LinggiProfil Ringkas Khadam Syeikh Said.
Keistimewaan Asy Syeikh Muhammad Al Linggi ialah beliau bukan saja alim empat mazhab feqah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang muktabar tetapi juga terkenal sebagai seorang ulama yang mengembangkan Tareqat Ahmadiah yang diasaskan oleh Asy Syeikh Muhammad Idris Ad Dandrawi r.m. Dan kerana mengembangkan ilmu tareqat, beliau menjelajah hingga ke Kampuchea, Thailand dan Singapura, selain di merata Semenanjung Tanah Melayu khususnya negeri asalnya Negeri Sembilan Darul Khusus.
Di Negeri Sembilan, Syeik Said menjadi ulama pertama yang membuka pusat pengajian sistem pondok bertempat di Ampangan, kira-kira 1km dari bandar Seremban. Beliau tidak pernah rehat dari mengajar orang ramai di merata tempat khususnya dalam daerah Linggi dan Port Dickson.
5. SYEIKH MUHAMMAD NOR AL KHOLIDI: Pengasas Kampung Islam ContohBangung Perkampungan Berteraskan SyariatTegak Pusat Tarbiah Wa Ta’limKuatkuasa Undang-undang.
SYEIKH MUHAMMAD NOR AL KHOLIDI adalah khalifah ke-35 Tareqat Naqsyabandiah dan terkenal sebagai seorang wali Allah dengan berbagai karamah. Beliau juga seoranhg pemimpin masyarakat yang bewibawa dan berjiwa sufi. Ini bukti dengan berjayanya beliau memimpin ahli jemaahnya di perkampungan Sungai Cincin, Gombak, sekitar tahun 1894-1919, di mana satu struktur pentadbiran dan undang-undang yang dilagangnya sendiri dapat dipraktikkan.
Dengan sokongan orang ramai, Syeik Muhammad Nor yang berasal dari Sumatera Utara, dapat membangunkan sebuah pusat pengajian yang bukan saja menekankan sola-soal ilmu tetapi juga tarbiah rohaniah.
Kampung Sg. Cincin, Gombak terletak kira-kira 13 km dari bandaraya Kuala Lumpur. Syeik Muhammad Nor Al Kholidi mula menerokanya pada sekitar tahun 1894, kira-kira 10 tahun dari tarikh beliau tiba di Tanah Melayu dari kampung asalnya di Penyambongan, Sumatera Utara.
Turut behijrah bersama ulama sufi ini ialah adik angkatnya Syeikh Zainal Abidin dan dua ulama lain. Mereka dari keturunan Mendeleng. Keempat-empat mereka alim-alim belaka dan apabila sampai ke Semenanjung mereka berpecah, seorang menetap di Tapah Perak, seorang lagi mungkin di Perak juga, cuma mereka berdua (Syeikh Muhammad Nor dan Syeikh Zainal Abidin) yang tidak berpisah,” kata Hajah Fatimah, 69 tahun, anak bongsu kepada Syeikh Muhammad Nor, ketika ditemui di rumah anaknya di Sentol Pasar, Kuala Lumpur.
6. TUK KENALI: Penyemarak Kebangkitan PondokAnak GeniusBerkat Doa dan Asuhan IbuPendidikan Pondok Tuk KenaliKitab-kitab PengajianGiat Dalam PenulisanPeranan Dalam PemerintahanAkhlak dan Amalan RohaniahKeramah Tuk KenaliPulangnya Ulama TerbilangTuk Kenali Dari Kacamata Anak Muridnya.
Nama Tuk Kenali tidak asing lagi di negara ini, dan satu ketika dulu pengaruh beliau cukup kuat hingga sampai ke Patani. Beliau mempunyai peranan langsung terhadap kebangkitan Islam di Kelantan pada zaman kegemilangannya hingga mendapat julukan ‘Serambi Mekkah.’
Di samping mengajar, Tuk Kenali aktif dalam penulisan, urusan kemasyarakatan dan juga pemerintahan. Beliau adalah orang penting di belakang penerbitan majalah ‘Pengasuh’. Pernah menjadi Ahli Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Ahli Majlis (Dewan) Ulama.
Tuk Kenali berpesan kepada murid-muridnya, antara lain, “mengaji sungguh-sungguh” dan “Buka pondok”.
Sekitar dua dekad pertama abad ke-20 itu, era pondok-pondok pengajian berkembang begitu pesat hasil sumbangan barisan pelapis yang mendapat asuhan dan tarbiah secara langsung dari Tuk Kenali serta tokoh-tokoh ulama lain di Kelantan. Murid-murid Tuk Kenali datang dari merata tempat terutamanya Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Menurut sumber yang boleh dipegang, Tuk Kenali mengamalkan Tareqat Ahmadiah. Beliau dikurniakan banyak karamah, kelebihan yang pelik-pelik tetapi benar berlaku.
7. TUAN HUSSEIN KEDAH AL BANJARI: Ulama Berdarah PanglimaBerjuang Tidak Hirau Batasan PolitikTolak Jawatan MuftiPenentang Sistem RibaTuan Hussein Banyak Tanah Wakaf.
TUAN HUSSEIN KEDAH AL BANJARI adalah pengasas kepada enam buah pondok pengajian dalam negeri Kedah dan sebuah di Poko Sena, Seberang Perai. Ini tidak termasuk usaha beliau membangunkan semula pondok datuknya di Gajah Mati, Jitrah, Kedah.
Beliau telah menulis tidak kurang daripada 18 buah kitab mengenai berbagai persoalan agama. Dan dalam bidang ini(mengarang kitab) beliau adalah ulama Kedah yang terbanyak mengarang kitab pada zamannya.
Dalam melaksanakan hukum, Tuan Hussein sangat berhalus dan tegas. Beliaulah orang yang pertama menentang sistem riba dalam soal pinjam-meminjam serta menolak pelaksanaan peraturan tauliah mengajar yang diselewengkan, dan menentang perlaksanaan akta cetak kitab.
Lantaran keberaniannya mempertahankan pendirian, Tuan Hussein menerima tindakan dibuang negeri. Namun semasa di Seberang Perai, beliau terus bergiat menyembarkan ilmu dan mengarang kitab. Tuan Hussein juga seorang pendakwah yang aktif.
Wasalam.

No comments:

Post a Comment